Feeds:
Posts
Comments

Qabiltu…

Alhamdulillah… setelah bertunang hampir lima purnama lamanya, tanggal 28 Februari 2009 bersamaan 3 Rabiul Awal 1430 aku telah selamat diijabkabulkan dengan tunanganku Norhayati Yahya di Masjid Kg. Sungai Dedap. Dengan lafaz “aku terima nikahnya…” maka kini aku sudah bergelar sebagai seorang suami.

Dengan gelaran ini, kini sudah terpikul di bahu aku amanah sebagai seorang suami, anak, juga menantu. Aku berdoa moga2 aku dapat  menunaikan semua tanggungjawab tersebut dengan sempurna.

gambokawen1

Dah kawin...

Selesai satu bab… kini tinggal majlis walimatulurus atau kenduri kawin yang bakal berlangsung kurang lebih 2 minggu dari sekarang. Persiapan bagi majlis tersebut kini hampir selesai sepenuhnya. Semoga majlis tersebut akan berlangsung dengan meriah dan sempurna. Kepada kawan2 yang ada kelapangan dijemput memeriahkan lagi majlis kenduri kawin ini.

Semoga jodoh pertemuan antara kami berdua akan kekal selamanya hingga ke hujung nyawa… “till death do us part” bak kata omputeh.

Selangkah…

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

 

Tanggal 27 Oktober 2008 bersamaan 27 Syawal 1429, telah terpahat satu lagi catatan sejarah dalam hidup aku sebagai seorang insan. Telah berlangsung satu majlis yang telah mengubah status diriku daripada seorang yang diketahui umum sebagai “single” kepada seorang yang kini telah menjadi tunangan orang.

 

Benarlah; ajal maut, jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Aku sama sekali tidak menduga Syawal 1429 ini akan membawa sesuatu yang bakal merubah hidupku. Barangkali berkat tempias dan bahang dari Nandre the Lengend, Duna, Suliana, Huda dan tak lupa Amien the Raptor.

 

Jutaan terima kasih aku ucapkan kepada kedua ibubapaku, sanak saudara, serta sahabat handai kerana menjayakan majlis pertunangan ini. Walaupun majlis ini diadakan dengan kadar yang sederhana, namun ianya amat bermakna bagi diriku. Kesanggupan dan kesungguhan kalian dalam menjayakan majlis ini amatlah dihargai. Semoga penat lelah dan jerit payah kalian menjadi ibadat disisi Tuhan.

 

Kepada Allah S.W.T aku pohon agar pertemuan dan pertunangan ini diberkati dan dirahmati. Amin…

 

Abd Halim Ismail

Norhayati Yahya

 

 

 

 

 

Salam Aidilfitri 1429H

Salam. Dah lama rasanya tak menjengah blog ni…

 

Lebih kurang seminggu lagi semua orang dah nak sambut hari raya. Aku mcm biasa la masih lagi berada di perantauan (walaupun tak jauh sgt, kira merantau la juga), mencari rezeki kata orang. Hujung-hujung Ramadhan mcm ni kalau waktu kecil2 dulu, ini la antara waktu yang meriah dalam hidup. Apa taknya, inilah masanya untuk pasang pelita panjut.. best tuu.

 

Ingat lagi, aku bersama kawan2 masuk hutan cari buluh, tebang buluh, kerat buluh… bukan nak buat lemang, tapi nak buat pelita panjut. Lepas tu, kami pakat2 cari tin minuman aluminium banyak2… pun nak buat pelita. Waktu itu, boleh dikatakan kebanyakan pelita panjut yg dipasang keliling rumah kami buat sendiri, “handmade” bak kata orang putih. Tak main la beli kat kedai, tak da feel… Siapa yang boleh buat pelita paling banyak kira dia la yang paling terrer. Siapa yang banyak beli pelita kat kedai tu kira koman atau pun cikai la.

 

Lagi satu, aku ingat lagi pelita panjut ni nak kena guna minyak tanah. Masalahnya minyak tanah ni agak mahal la sikit, maka kami dengan kreatifnya menggunakan minyak diesel sebagai ganti (masa tu minyak diesel ni murah, tp klu skrg ni… ). Walaupun asap dia banyak sikit, tapi tahan lama dan agak lambat habis kalau nak dibanding dengan minyak tanah ni. Sesetengah orang pasang pelita panjut ni katanya nak sambut malam tujuh likur, ada pula katanya nak sambut lailatul qadar (ustaz aku kata agak kurang kena kalau kita buat cmni). Bagi kami senang ja, pasang pelita nak bagi cantik, nak bagi meriah sebab nak raya…

 

Petang-petang lepas kelas ngaji Quran, ada satu acara wajib…. main meriam tanah. Tempat dia mesti la kat hujung kampung, atau pun mana-mana area yang agak jauh dari rumah orang. Kawasan larangan; dekat dengan rumah orang atau mana-mana tempat yang dekat dengan rumah yang ada anak kecil, yang baru lahir (ni undang-undang yang mesti dipatuhi oleh pemain-pemain meriam tanah sejak turun temurun). Meriam tanah ni kami buat guna paip yang digunakan bagi mengalirkan air ke bendang (org Kedah panggil “kok”). Lepas tu kumpul duit sorang 20 sen @ dua kupang, buat beli karbait. Dah tu, petang2 gamat la satu kampung dengan bunyi meriam. Lawan siapa bunyi paling kuat.

 

Sekarang ni itu semua dah jadi kenangan. Dah susah nak merasa semua tu. Bila dah kerja ni, tak ada kesempatan nak buat benda-benda yang pernah aku buat waktu kecil2 dulu. Kadang-kadang tu teringin juga nak buat balik semua tu…

 

Bersempena dengan Syawal yang bakal menjelang ini, aku mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf dari kedua ibubapa, sanak-saudara, guru-guru, bos/chief serta semua kawan-kawan, rakan-taulan juga sahabat-handai atas semua salah silap yang pernah aku lakukan. Semoga Ramadhan yang bakal berlalu ini memberi keampunan dan keberkatan buat kita semua dan Syawal yang bakal menjelang ini memberi kebahagian dan keceriaan.

 

“Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin”

Hari Ini Dalam Sejarah

Pagi 26/11/2007, aku memulakan kehidupan sepertimana hari-hari biasa; bangun pagi, mandi, solat subuh, kemudiannya bersiap-siap untuk pergi ke opis. Rutin biasa yang ku lalui setiap hari, tiada yang ganjil. Namun, tatkala kakiku mula melangkah melangkaui pintu rumahku, tiba-tiba terdetik di hati, terdapat sesuatu yang belum lengkap, belum sempurna pada diriku. Dompet!!!! Ya… aku tertinggal dompet.

Aku kembali ke bilik untuk mengambil dompet. Aiishh…. pelik, dompet tak da la plak dalam bilik. Ooooh… barangkali kat ruang tamu, segera aku beralih ke ruang tamu. Anak mataku meliar ke segenap sudut dan ruang di mana aku selalunya meletakkan dompetku. Tak ada… Aarrgghh… kat bilik tak da, kat ruang tamu pun tak da, kacau-kacau… Perasaan resah mula mencengkam hatiku.

Aku mula melilau, mencari dan menyelongkar ke seluruh ruang rumah. Bilik, ruang tamu, dapur, bilik air, balkoni…semua dah selongkar, semua aku punggah, tak jumpa juga. Waahhhhhh….apa dah jadi ni. Aku mula rasa semacam… takkan hilang kot. Nak kata salah letak pun tak patut sangat. Suasana dalam rumah pula bukannya sehebat Genting Sempah sehinggakan terlalu sukar untukku mencari sesuatu.

Dah lebih setengah jam aku cari, jam plak dah hampir pukul lapan….hiiishhhh dah hilang la ni… bisik hatiku. Seingat aku, kali terakhir aku memegang dompet, waktu aku bayar harga barang kat kedai runcit tak jauh dari rumah. Tanpa berlengah aku menyusuri jalan yang ku lalui malam tadi… tak jumpa juga… Aku tanya tuan kedai kalau2 la dia ada terjumpa dompet. “Tak ada”, ringkas jawab tuan kedai, namun amat rumit dan terlalu sukar bagiku.

Aku pulang ke rumah, kembali mencari, menyelongkar, memunggah… namun hasilnya tetap sama, tak ada. Aku membuat kesimpulan bahawa dompet aku hilang, barang kali tercicir kat mana-mana la tu… Dengan gaya orang kehilangan dompet, aku bergegas ke Pondok Polis Putra Perdana untuk membuat laporan. Selesai membuat laporan, sepantas mungkin aku merempit ke Putrajaya untuk ke bank… nak block la kad bank, nanti tak pasal-pasal papa kedana jadinya. Ketika membuat laporan, pegawai berkenaan memberitahu telah terdapat percubaan untuk mengeluarkan wang dari akaun aku… eishhh, suspen ni. Tapi cubaan itu gagal dan kini semua transaksi menggunakan kad telah ditahan, salah nombor PIN la tu… fuhhhh, lega. Kini telah sahih lagi nyata bahawa dompet aku telah tercicir dan kini telah berada dalam simpanan orang lain…hampeh tul…

Hidup aku hari tu agak porak peranda… ye la, dah satu apa pun tak da… kalau kena tahan polis tak pasal-pasal aku dianggap PATI. Itu yang aku risau… dah le muka tu ada sikit iras-iras hero Hindustan… sikit je la… orang la kata….. hahahahahaha… Dalam susah-susah hati, sempat lagi nak berangan tu… Satu lagi masalah… nak buat I/C dengan lesen baru kena pakai duit…Alamak!!!! Aku mana ada cash kat tangan… syiling ada la sikit… kat dalam botol kat rumah.

Tetapi mujur la kawan2 aku semuanya baik2 belaka… dengan bantuan kengkawan aku pergi la ke JPN Putrajaya, nak buat I/C baru. “Encik, sekarang ni kalau nak buat I/C baru, hilang kali pertama, kena bayar RM110. RM 100 denda, RM 10 lagi untuk proses” jelas Cik Kak kat kaunter JPN dengan senyum simpul… pulak dahhhhh…. “Tak pa la Cik, besok je la saya datang lain. Hari ni tak cukup duit. Tak tau la plak kena bayar sampai RM110”, ujarku dengan gaya macho. Hishhhh… susahnya….

Sekali lagi terpaksa la aku hantar isyarat SOS pada kengkawan. Ringkas cerita akhirnya dapat la aku buat I/C baru… terima kasih buat kengkawan semua yang bersimpati dan sedia membantu…jasa kalian akan aku kenang…budi baik kalian amat besar ertinya…

Kepada sesiapa yang mencilok dompet aku tu… insaf2 la.. jangan la dok buat kerja2 yg tak berguna tu lagi. Mujur la aku ni kira jenis yg baik hati la sikit… kalau la aku ni tergolong dari kalangan mereka yang dikira ganas… nanti tak pasal-pasal kembung perut…haaaaaaaa time tu baru tau….

Pesanan buat diri: Lain kali kena lebih beringat, hati-hati dan waspada

Pesanan dari kawan2: “Kami bukan Along, kami cuma nak tolong….”

Selamat Hari Raya!!!

Satu Syawal bakal menjelang, tak lama lagi umat Islam seluruhnya bakal menyambut hari lebaran tanda kemenangan setelah sebulan berpuasa. Di kesempatan ini sukalah penulis mengucapkan Selamat Hari Raya; Maaf Zahir Batin kepada kedua ibubapa, sanak saudara, guru2 serta semua kawan-kawan, sahabat handai dan rakan taulan, juga kepada sesiapa sahaja yg mengenali diri ini (mcm ucapan raya kt TV plak…)

Andai kata tersalah tutur kata, terkasar bahasa, salah dalam kerja buat seharian, sengaja ataupun tidak, sudilah kiranya agar diberi kemaafan. Semoga hari raya tahun ini memberi seribu erti, dan membawa kerahmatan dan keberkatan buat semua insan.

For words that might have hurt
For jokes that turned sour and
For everything said or done wrong
My apology from the bottom of my heart
Have a happy Eid Fitri
 
Dalam bermesra mungkin terkasar bahasa
Dalam bergurau mungkin terlanjur senda
Dalam berjanji mungkin ada yang belum dikota
Di atas segala kekurangan, kesalahan dan kesilapan
Kemaafaan ku pinta
SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR BATIN

Ramadhan datang lagi, maka mulalah umat Islam di seluruh dunia berpuasa. Malam ni dah mula bertarawih. Alhamdulillah sebab kita masih lagi diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan untuk tahun ini. Semoga kita semua dapat bersama-sama mengambil peluang ini. Semua sedia maklum bahawasanya Ramadhan merupakan sebuah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Sama-samalah kita menginsafi diri dan berusaha untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur. Kita manusia ni kadang-kadang agak lalai dan mungkin juga terlalu sibuk dengan urusan seharian sehinggakan terlepas pandang apa yang sepatutnya dan terlajak bagi apa yang tidak sewajarnya. Mungkin ada benarnya ungkapan;

Aku manusia

Pelakon cerita

Di pementasan alam ciptaan-Nya

Bukan sengaja melanggar arahan

Kadang terlupa watak dan peranan

Aku manusia…

(Aku Mahu Pulang/Amuk)

Semoga Ramadhan tahun ini memberi keberkatan kepada kita semua.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK kepada kawan-kawan serta umat Islam seluruhnya.

Kisah Tempayan Retak

Seorang tukang air memiliki dua tempayan besar, masing-masing bergantung pada kedua hujung suatu pikulan, yang dibawa menyilang pada bahunya. Satu daripada tempayan itu retak sedangkan tempayan yang satu lagi tidak. Jika tempayan yang utuh itu selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan panjang dari mata air ke rumah majikannya, tempayan retak itu hanya dapat membawa air setengah penuh.

Selama dua tahun hal itu terjadi setiap hari. Si tukang air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu saja si tempayan yang utuh berasa bangga akan prestasinya kerana dapat menunaikan tugasnya dengan sempurna. Namun, si tempayan retak yang malang itu malu sekali akan ketidaksempurnaannya dan sedih sebab ia hanya dapat memberi setengah dari bahagian yang seharusnya.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini, tempayan retak itu berkata pada si tukang air, “Saya sungguh malu pada diri saya sendiri, dan saya ingin mohon maaf kepadamu”. “Kenapa kamu berasa malu?” tanya si tukang air. “Saya hanya mampu selama dua tahun ini membawa setengah bahagian air dari yang sepatutnya saya bawa kerana adanya retakan pada sisi saya yang membuatkan air yang saya bawa bocor sepanjang jalan menuju ke rumah majikan kita. Kerana cacatku itu, saya telah membuatmu rugi,” kata tempayan itu.

Si tukang air berasa kasihan pada si tempayan retak, dan dalam belas kasihannya ia berkata, “Jika kita kembali ke rumah majikan esok, aku ingin kamu memperhatikan bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan”. Benar, ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memperhatikan dan baru menyedari bahawa ada bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan, dan itu membuatnya sedikit terhibur. Namun pada akhir perjalanan, ia kembali sedih kerana separuh air yang dibawanya telah bocor. Dan kembali dia minta maaf pada si tukang air atas kegagalannya.

Si tukang air berkata kepada tempayan itu, “Apakah kamu memperhatikan adanya bunga-bunga di sepanjang jalan di sisimu tetapi tidak ada bunga di sepanjang jalan di sisi tempayan yang utuh? Itu kerana aku selalu menyedari cacatmu dan aku memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan di sisimu. Dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari mata air, kamu mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini aku telah dapat memetik bunga-bunga indah itu untuk menghias meja majikan kita. Tanpa kamu sebagaimana kamu ada, majikan kita tak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang”.

(Dipetik daripada Mingguan Malaysia “Kesihatan”, 1 Julai 2007, m/s 9)

Moral: Tiada siapa yang sempurna kecuali Yang Maha Esa. Kekurangan serta kelemahan yang ada bukannya alasan untuk seseorang itu tidak berjaya.


Apa ada pada 2 Julai? Pada org lain tarikh ni mungkin tak membawa sebarang erti. Tapi bagi aku ni lah satu tarikh di mana aku telah dilahirkan ke dunia ini …….. tahun yg lalu. Seperti selalu aku tak la celebrate besday aku ni beria2 sgt. Cuma sekadar mengingat yg hari ini salah satu drpd hari2 yg bersejarah dlm hidup aku.

Pagi ni pn aku datang keje macam hari2 biasa, ye la dh lama2 ni (lama ye bukan tua tau…) maleh lak rasa nk celebrate. Tima kasih la pada kengkawan semua sbb sudi wish dan celebrate besday aku ni. Igt juga korang sume kt aku ni…TQ

Sempena besday aku yang ke ehem ehem ni, aku harap la dipermudahkan oleh Tuhan hidup aku ni agar makin elok dan sempurna dalam segala segi.

Amin

Pak…Pak…Pak… Pong…Pong…Pong…Pak…Pak…Pak…Pong…Pong…Pong…

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam. Maka dengan kehendak dan izin Tuhan jualah, telah selamat disatukan dua insan Adnan Bin Haris dengan Norlita Bt Mat Juni. Maka gegak gempitalah bumi Sekinchan, begitu juga halnya akan bumi Taiping menyambut perkhabaran yang menggembirakan ini. Adapun bumi Putrajaya ini sedikit sebanyak turut sama terasa akan tempiasnya. Terkadang suam-suam kuku jadinya dek bahana bahang dari Sekinchan asalnya. Maka mengucap tahniah penulis serta kawan-kawan seluruhnya akan nikahnya Adnan dan Norlita ini.

Adapun akan meriahnya majlis ini tiadalah dapat dinafi. Berbondong-bondong sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan taulan menghadiri akan walimatul urus raja sehari. Berhajatlah mereka semua untuk menatap dan merai pengantin keduanya. Teramatlah suka akan sekalian yang hadir melihat akan serinya pengantin dua sejoli.

Kelihatan kedua mempelai itu amatlah sepadan. Dapat diumpamakan bagai pinang dibelah dua, kata orang tua-tua. Betapa akan suka dan girangnya kedua mempelai itu amatlah jelas dan nyata. Senyuman manis tampak menguntum dari bibir mereka berdua. Jika pun diukur dan disukat akan senyum kedua mempelai itu, sampai ke telinga panjangnya.

Maka berdoalah akan sekalian yang hadir akan kesejahteraan dan kebahagian keduanya. Harapan semua biarlah diberkati serta dirahmati akan perkahwinan kedua mereka. Moga berkekalan jodoh serta bahagia sehingga ke akhir hayat pinta mereka. Biar bersatu bumi dengan langit namun mereka berdua berpisah tiada. Doa dipanjat restu dipinta, dimakbulkan Yang Maha Esa hendaknya…Amin…

Sukalah disini penulis menghadiahkan sebuah lagu kepada pengantin berdua. Jika diingat lagu ini dimainkan di dalam filem “Madu Tiga”. Harapan penulis agar terhibur akan pengantin keduanya. Namun barang harus diingat, janganlah ditiru akan perangai “Jamil bin Abu” itu hendaknya.

Gambus jodoh

Pukullah tabuh
Pukullah tabuh pukul rebana
Pukullah tabuh
Pukullah tabuh pukul rebana

Kalaulah jodoh
Kalaulah jodoh tidak ke mana
Ya naam sidi
Kalaulah jodoh tidak ke mana

Gununglah Banang
Gununglah Banang Gunung Selawa
Gununglah Banang
Gununglah Banang Gunung Selawa

Bagaikan pinang
Bagaikan pinang dibelah dua
Ya naam sidi Bagaikan pinang dibelah dua

Tanah yang licin
Tanah yang licin tidak berduri
Tanah yang licin
Tanah yaang licin tidak berduri
Ibarat cincin
Ibarat cincin lekat di jari
Ya naam sidi Ibarat cincin lekat di jari

Ini sebuah cerita di sebalik kejayaan Columbus yang menemui benua Amerika. Setelah penemuan yang fenomenal itu, Columbus menjadi sangat terkenal dan diagungkan-agungkan oleh raja dan rakyat jelata. Columbus pun diangkat menjadi seorang bangsawan. Popularitinya membuatkan beberapa orang menjadi iri kepadanya.

Pada suatu hari, Columbus mengadakan jamuan makan. Dia menceritakan semula kisah yang dihadapi dalam pengembaraannya. Semua tamu undangan terpukau dan mengakui kehebatan Columbus. Namun beberapa orang yang iri dengan sinis berkata: “Apa hebatnya dia? Dia cuma belayar dan secara kebetulan, menemui benua itu. Sesiapa saja mampu melakukan itu”.

Mendengarkan hal tersebut, Columbus kemudian mencabar orang-orang yang iri tersebut. “Marilah kita bertanding untuk membuktikan siapa yang lebih baik. Barang siapa yang berjaya membuat telur-telur rebus itu berdiri di atas meja makan ini, maka dialah orang yang terbaik dan semua gelaran dan kekayaanku akan ku serahkan kepadanya”. Orang-orang yang iri tadi menyahut cabaran Columbus.

Mereka mulai berusaha untuk membuatkan telur-telur rebus itu berdiri di atas meja. Namun oleh kerana telur adalah benda bujur, adalah cukup mustahil untuk telur mampu diletakkan secara menegak di atas meja. Setiap kali cuba didirikan, maka telur-telur itu terus menggelongsor jatuh. Akhirnya mereka menyerah kalah.

Kini tiba giliran Columbus. Columbus memegang telur rebus itu di atas meja dengan posisi tegak kemudian dengan tangannya yang satu lagi, Columbus menekan hujung atas telur rebus itu ke meja sehingga hujung bawah telur menjadi remuk dan memipih. Tidak lonjong lagi. Nah! Telur tersebut mampu berdiri tegak di atas meja.

Melihat hal tersebut, orang-orang yang iri dengan sinis berkata; “Ah… kalau begitu caranya, kami juga boleh membuat telur rebus itu berdiri.” Dengan bijak dan sambil tersenyum, Columbus berkata; “Kalau begitu, mengapa tidak kamu melakukannya?”

Dipetik daripada Mingguan Malaysia, 3 Jun 2007, m/s 28

Older Posts »